Isnin, 14 April 2014

TENAGA HIDROELEKTRIK _ UNTUK APA??

Minggu ni saya mengajar tajuk "Sumber tenaga di Malaysia"...Salah satu sumber elektrik yang kita peroleh ialah daripada sumber hidroelektrik...sumber tenaga yang berpunca daripada air ( sungai)...
Sebenarnya dalam buku teks Geografi Tingkatan 3, sumber tenaga hidroelektrik tidaklah diterangkan secara menyeluruh..cuma saya tekankan bahawa jika ada tenaga hidroelektrik, mesti ada empangan...Empangan??? pelajar dah mula bertanya....

Apa dia empangan??
selalunya, saya akan melukis dua buah gunung dahulu, kemudian saya akan buat blok di tengah-tengah menandakan ada empangan tersebut...bila saya lukis je macam gini...beberapa orang pelajar dah mula tersenyum-senyum...situasi ini memang saya dah jangka...berbelas2 tahun saya melukis gunung nie...entah apalah yang ada difikirkan mereka kan????( faham-faham ajelah pelajar sekarang...banyak otak kotor...)
Macam ginilah empangan....Contoh di bawah adalah EMPANGAN KENYIR, TERENGGANU...

Empangan kenyir ini terletak di hulu Sungai Terengganu, lebih kurang 50 km ke barat laut Kuala Terengganu. Binaan ini menghasilkan sebuah tasik yang besar dikenali Tasik Kenyir. Iaitu sebuah tasik buatan manusia yang terbesar di Malaysia. ( pelajar kena hafal sebab tasik ini selalu sangat masuk dalam exam )
Pernah dahulu, saya sekeluarga hendak balik ke Kelantan tetapi saya tersesat hingga ke empangan kenyir...begitu besar konkritnya...terus kecut dan cuak saya...
Bagaimana stesen ini menghasilkan tenaga elektrik??? saya pun beritahulah kepada pelajar bahawa untuk menjana kuasa elektrik , terdapat satu turbin dibawahnya...( main agak-agak sahaja )...tapi agakkan saya memang benar....betul tak??...
selepas tu pelajar saya pun bertanya lagi, apa tu turbin???..emmm macammana yek nak jawab....macam gambar kat bawah lah.... ( tolong fahami okey! )
Stesen janakuasa ini adalah stesen hidroelektrik, dengan 4 turbin dengan keupayaan 100 MW sebuah, berjumlah 400 MW. Stesen ini dikendalikan oleh Tenaga Nasional Berhad. Keupayaan terjamin adalah 165 MW dan janaan tenaga tahunan adalah 1,600 GWh.
dengar cerita, di Tasik Kenyir ni ada naga??? betul ke??? masih belum boleh dipercayai lagi....
Nampak tak dahan-dahan pokok yang mati di permukaan tasik tu????
Sebenarnya dahan-dahan kayu yang mati tu merupakan pokok-pokok hutan yang telah ditengelami oleh air hasil daripada pembinaan empangan...Yang kita nampak tu adalah dahan yang paling atas sekali ( pucuk )...Ini bermakna bahawa tasik ini sangat dalam sebab kebanyakan pokok-pokok di hutan hujan tropika adalah berketinggian 30 meter hingga 50 meter....
Dan selalu juga saya beritahu pelajar, bahawa di tasik kenyir terdapat kegiatan pembalakan dasar air...kerja yang sangat merbahaya.....tapi kalau paelajar malas nak belajar, bolehlah apply kerja tu...sebab gajinya sangatlah mahal...
Dahulu, saya pernah menonton di Majalah 3 yang menyiarkan tentang kegiatan pembalakan ini...namun begitu, kegiatan ini hanya dilakukan oleh pembalak-pembalak profesional sahaja iaitu yang tahu menyelam...Mereka menyelam menggunakan peralatan menyelam yang lengkap macam menyelam di dasar laut..kebanyakan pembalak ini adalah warganegara Thailand...Orang Malaysia memang tak berani....betul tak???
Saya kalau mengajar santai sahaja...cukup untuk pemahaman pelajar-pelajar saya sahaja...tidaklah saya mengajar secara teliti...Tetapi kalau nak lebih mendalam , tajuk ni ada dalam mata pelajaran sains...Tanyalah cikgu sains anda yea...
Ingat yea...selain Empangan Kenyir, anda juga perlu tahu tentang Empangan Chenderoh, Empangan Temenggor, Empangan Batang Ai, Empangan Padas dan lain-lain lagi....

Ahad, 6 April 2014

Faedah Belajar Secara Berkumpulan (Karangan A)

  Belajar secara berkumpulan ialah belajar secara beramai-ramai di sesuatu tempat untuk membincangkan sesuatu pelajaran. Belajar secara berkumpulan mendatangkan banyak kebaikan kerana mampu membantu meningkatkan kefahaman tentang sesuatu pelajaran. Namun begitu, belajar secara berkumpulan juga mampu memberikan kesan buruk atau kurang efektif sekiranya ahli kumpulan tidak memberikan komitmen yang sepenuhnya. Oleh itu, setiap ahli kumpulan hendaklah mempunyai visi yang sama iaitu berkeinginan tinggi untuk belajar agar aktiviti belajar secara berkumpulan yang dilaksanakan lebih berkesan. Persoalan yang bermain di benak fikiran kita, apakah faedah-faedah belajar secara berkumpulan?
       Perbincangan pertama mengenai faedah belajar secara berkumpulan ialah ahli kumpulan dapat saling bertukar idea serta bantu membantu. Hal ini demikian kerana apabila belajar secara berkumpulan, kita dapat bertukar pendapat tentang sesuatu pelajaran antara satu sama lain. Sebagai contoh, setiap ahli akan mengajukan pendapat masing-masing dan pendapat tersebut akan dipertimbangkan oleh ahli kumpulan yang lain. Setiap ahli kumpulan juga akan bantu membantu antara satu sama lain tentang sebarang subjek yang mereka lemah dan bekerjasama bagai aur dengan tebing. Ahli kumpulan yang mahir dalam sesuatu subjek akan membantu ahli-ahli yang lain dengan menerangkan dengan lebih terperinci tentang subjek tersebut. Berdasarkan mauduk yang dihuraikan, terbuktilah bahawa belajar secara berkumpulan mampu mendatangkan kebaikan kerana dapat bertukar idea serta bantu membantu.
      Perbincangan seterusnya mengenai faedah belajar secara  berkumpulan ialah pembelajaran menjadi aktif dan kreatif. Hal ini demikian kerana, aktiviti belajar secara berkumpulan mampu memberi peluang kepada setiap ahli untuk menyuarakan pendapat masing-masing. Dalam konteks ini, setiap ahli akan bergerak aktif dengan menyuarakan idea mereka. Sebagai contoh, setiap ahli kumpulan bersungguh-sungguh melontarkan buah fikiran masing-masing ketika mereka membincangkan isu jenayah. Pembelajaran menjadi kreatif kerana ahli kumpulan dapat menghasilkan sesuatu formula untuk memudahkan mereka mengingati sesuatu pelajaran. Berdasarkan hujah yang dihuraikan, terbuktilah bahawa belajar secara berkumpulan memberi banyak faedah kerana pembelajaran menjadi lebih kreatif dan aktif.
        Lontaran idea kedua mengenai faedah belajar secara berkumpulan ialah pembelajaran menjadi lebih seronok dan tidak membosankan. Belajar secara berkumpulan memberikan suasana belajar yang menyeronokkan. Hal ini demikian kerana, seseorang pelajar akan dapat belajar atau membuat ulang kaji dengan perasaan yang ceria tanpa tekanan daripada guru-guru. Rakan-rakan juga merupakan orang yang paling dekat dengan pelajar selain ahli keluarga. Sebagai contoh, seseorang pelajar yang bersikap malu tidak berani untuk bertanya kepada guru apabila dia menghadapi masalah dalam pelajaran. Sebaliknya dia akan bertanya dan mengeluarkan buah fikiran di depan rakan-rakannya. Berdasarkan hujah yang dinyatakan, jelaslah bahawa belajar secara berkumpulan banyak manfaatnya kerana lebih seronok dan tidak membosankan.
        Seterusnya, faedah belajar secara berkumpulan ialah dapat mewujudkan persaingan yang sihat dan menguntungkan. Hal ini demikian kerana belajar secara berkumpulan mampu membuka langkah kepada pelajar untuk memajukan diri dalam pelajaran. Sebagai tamsilnya, seorang pelajar berasa tercabar dengan rakannya yang menguasai kemahiran menjawab dengan lebih baik. Pelajar tersebut akan berusaha mengukuhkan kemahiran menjawabnya dan seterusnya mencapai keputusan yang cemerlang dalam sesuatu mata pelajaran. Perkara ini merupakan satu persaingan yang sihat kerana setiap pelajar berusaha untuk meningkatkan prestasi masing-masing dengan bersaing antara satu sama lain dalam bidang akademik. Berdasarkan mauduk yang dinyatakan, sudah terang lagi bersuluh, belajar secara berkumpulan memang banyak manfaatnya kerana mampu mewujudkan persaingan yang sihat dan menguntungkan.
       Secara deduktifnya, belajar secara berkumpulan boleh dikatakan sebagai batu loncatan ke arah kejayaan kerana usaha ini boleh mendatangkan pelbagai faedah kepada pelajar-pelajar. Belajar secara berkumpulan merupakan langkah yang bijak bagi  pelajar yang ingin mencapai kecemerlangan. Setiap pelajar hendaklah memberikan komitmen yang sepenuhnya dan tidak melaksanakan aktiviti ini seperti melepaskan batuk di tangga bagi memastikan aktiviti belajar secara berkumpulan ini berkesan dan berjalan lancar. Oleh itu, sebagai bakal pemimpin negara, kita seyogianya melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan memanfaatkan kaedah belajar secara berkumpulan untuk menjadi seorang yang cemerlang dan seterusnya memberi sumbangan kepada negara.